Tuesday, July 31, 2018

Bab 1: Jejak Pengalaman - Pengenalan


2011 - Part Time Baker

Tahun kedua selepas graduasi. Saya merupakan pekerja di syarikat swasta. Pekerjaan dalam bidang perkomputeran, pengaturcaraan mesin kredit kad dan pembangun laman web syarikat yang cukup tertekan. Setiap hari bertolak ke pejabat sebelum matahari terbit dan pulang kerumah ketika malam pekat menjengah. Kehidupan hanya di pejabat dan di suap kesibukan melebihi tujuh hari seminggu. Pernah menghabiskan masa empat puluh lapan jam hanya di pejabat. Waktu itu, itu lah kepuasan. Namun lama-kelamaan, bosan dan lelah mulai terasa. Sering mencari jalan untuk keluar dari tekanan. Masa yang ada selepas pulang dari pejabat, saya habiskan di ceruk dapur mencuba pelbagai resepi.

Minat, kepuasan, ketagihan, keinginan, keghairahan.

Mendorong diri untuk mencuba perkara baru walaupun diluar bidang dan kemahiran sendiri. Saya keluar dari kepompong untuk mencuba perkara baru. Setiap hari, saya akan sediakan sebiji kek dan kek cawan istimewa untuk dimakan bersama rakan-rakan sepejabat. Perasaan gembira melihat mereka berebut makan memberi satu kepuasan dari sudut berbeza.

Kepuasan yang akhirnya menjadi ketagihan yang baru. Ya! Saya ketagih dengan wajah gembira. Wajah yang tak akan menipu yang menilai sebuah rasa manis dan singgah lama di hati sang pemakan. Ketagihan itu membuatkan saya sanggup ke dapur hanya untuk mencuba pelbagai resipi kek, ais krim dan pelbagai manisan mulut untuk dibawa ke pejabat keesokan hari. Suatu hari, sahabat saya membuat tempahan kek hantaran pertama sebelum saya memutuskan untuk berniaga dengan serius. Tanpa mengambil masa yang lama untuk berfikir, saya setuju dengan tempahan sahabat saya.

Modal saya ketika itu RM180. Saya tiada kemahiran berniaga dan ilmu berniaga. Saya mula dengan “ZERO”. Saya berjaya menyiapkan kek tempahan pertama saya! Iaitu sebiji kek hantaran fondan berwarna putih berbunga merah, terdapat hiasan biji-biji mutiara disekeliling kek tersebut. Harga jualan pertama itu, RM80. Dalam hati berkata, “WOW! Adakah ini hasil tangan saya?”. Dan saya seronok melihat hasil saya dan beberapa keping nota RM10. Keterujaan itu membuatkan saya mempunyai keinginan untuk pergi lebih jauh. Guru saya ketika itu adalah laman sesawang “Youtube”.

Tempahan demi tempahan di terima. Dari kek cawan ke kek bertingkat. Dari kek bertingkat ke kek pelbagai tema karakter kartun. Saban hari ia menjadi keghairahan untuk menghasilkan lebih banyak kek tema. Pulang dari pejabat, saya akan terus ke dapur untuk menyiapkan tempahan. Dan akan tidur pada pukul empat pagi atau lima pagi. Saya akan ke pejabat pada pukul lapan pagi. Kerana keghairahan itu, saya tidak terasa lesu, letih atau tertekan. Saya gembira akhirnya saya temui cara untuk menghilangkan tekanan dengan kerja pejabat.