2011 - Part Time Baker
Tahun kedua selepas graduasi.
Saya merupakan pekerja di syarikat swasta. Pekerjaan dalam bidang
perkomputeran, pengaturcaraan mesin kredit kad dan pembangun laman web syarikat
yang cukup tertekan. Setiap hari bertolak ke pejabat sebelum matahari terbit
dan pulang kerumah ketika malam pekat menjengah. Kehidupan hanya di pejabat dan
di suap kesibukan melebihi tujuh hari seminggu. Pernah menghabiskan masa empat
puluh lapan jam hanya di pejabat. Waktu itu, itu lah kepuasan. Namun
lama-kelamaan, bosan dan lelah mulai terasa. Sering mencari jalan untuk keluar
dari tekanan. Masa yang ada selepas pulang dari pejabat, saya habiskan di ceruk
dapur mencuba pelbagai resepi.
Minat, kepuasan, ketagihan,
keinginan, keghairahan.
Mendorong diri untuk mencuba
perkara baru walaupun diluar bidang dan kemahiran sendiri. Saya keluar dari
kepompong untuk mencuba perkara baru. Setiap hari, saya akan sediakan sebiji
kek dan kek cawan istimewa untuk dimakan bersama rakan-rakan sepejabat.
Perasaan gembira melihat mereka berebut makan memberi satu kepuasan dari sudut
berbeza.
Kepuasan yang akhirnya menjadi
ketagihan yang baru. Ya! Saya ketagih dengan wajah gembira. Wajah yang tak akan
menipu yang menilai sebuah rasa manis dan singgah lama di hati sang pemakan.
Ketagihan itu membuatkan saya sanggup ke dapur hanya untuk mencuba pelbagai
resipi kek, ais krim dan pelbagai manisan mulut untuk dibawa ke pejabat
keesokan hari. Suatu hari, sahabat saya membuat tempahan kek hantaran pertama
sebelum saya memutuskan untuk berniaga dengan serius. Tanpa mengambil masa yang
lama untuk berfikir, saya setuju dengan tempahan sahabat saya.
Modal saya ketika itu RM180.
Saya tiada kemahiran berniaga dan ilmu berniaga. Saya mula dengan “ZERO”. Saya
berjaya menyiapkan kek tempahan pertama saya! Iaitu sebiji kek hantaran fondan
berwarna putih berbunga merah, terdapat hiasan biji-biji mutiara disekeliling
kek tersebut. Harga jualan pertama itu, RM80. Dalam hati berkata, “WOW! Adakah
ini hasil tangan saya?”. Dan saya seronok melihat hasil saya dan beberapa
keping nota RM10. Keterujaan itu membuatkan saya mempunyai keinginan untuk
pergi lebih jauh. Guru saya ketika itu adalah laman sesawang “Youtube”.
Tempahan demi tempahan di
terima. Dari kek cawan ke kek bertingkat. Dari kek bertingkat ke kek pelbagai
tema karakter kartun. Saban hari ia menjadi keghairahan untuk menghasilkan
lebih banyak kek tema. Pulang dari pejabat, saya akan terus ke dapur untuk
menyiapkan tempahan. Dan akan tidur pada pukul empat pagi atau lima pagi. Saya
akan ke pejabat pada pukul lapan pagi. Kerana keghairahan itu, saya tidak
terasa lesu, letih atau tertekan. Saya gembira akhirnya saya temui cara untuk
menghilangkan tekanan dengan kerja pejabat.
No comments:
Post a Comment