2011
Part Time
Baker
Tahun kedua
selepas graduasi. Saya merupakan pekerja di syarikat swasta. Pekerjaan dalam
bidang perkomputeran, pengaturcaraan mesin kredit kad dan pembangun laman web
syarikat yang cukup tertekan. Setiap hari bertolak ke pejabat sebelum matahari
terbit dan pulang kerumah ketika malam pekat menjengah. Kehidupan hanya di
pejabat dan di suap kesibukan melebihi tujuh hari seminggu. Pernah menghabiskan
masa empat puluh lapan jam hanya di pejabat. Waktu itu, itu lah kepuasan. Namun
lama-kelamaan, bosan dan lelah mulai terasa. Sering mencari jalan untuk keluar
dari tekanan. Masa yang ada selepas pulang dari pejabat, saya habiskan di ceruk
dapur mencuba pelbagai resepi.
Minat,
kepuasan, ketagihan, keinginan, keghairahan.
Mendorong diri
untuk mencuba perkara baru walaupun diluar bidang dan kemahiran sendiri. Saya
keluar dari kepompong untuk mencuba perkara baru. Setiap hari, saya akan
sediakan sebiji kek dan kek cawan istimewa untuk dimakan bersama rakan-rakan
sepejabat. Perasaan gembira melihat mereka berebut makan memberi satu kepuasan
dari sudut berbeza.
Kepuasan yang
akhirnya menjadi ketagihan yang baru. Ya! Saya ketagih dengan wajah gembira.
Wajah yang tak akan menipu yang menilai sebuah rasa manis dan singgah lama di
hati sang pemakan. Ketagihan itu membuatkan saya sanggup ke dapur hanya untuk
mencuba pelbagai resipi kek, ais krim dan pelbagai manisan mulut untuk dibawa
ke pejabat keesokan hari. Suatu hari, sahabat saya membuat tempahan kek
hantaran pertama sebelum saya memutuskan untuk berniaga dengan serius. Tanpa
mengambil masa yang lama untuk berfikir, saya setuju dengan tempahan sahabat
saya.
Modal saya
ketika itu RM180. Saya tiada kemahiran berniaga dan ilmu berniaga. Saya mula
dengan “ZERO”. Saya berjaya menyiapkan kek tempahan pertama saya! Iaitu sebiji
kek hantaran fondan berwarna putih berbunga merah, terdapat hiasan biji-biji
mutiara disekeliling kek tersebut. Harga jualan pertama itu, RM80. Dalam hati
berkata, “WOW! Adakah ini hasil tangan saya?”. Dan saya seronok melihat hasil
saya dan beberapa keping nota RM10. Keterujaan itu membuatkan saya mempunyai
keinginan untuk pergi lebih jauh. Guru saya ketika itu adalah laman sesawang
“Youtube”.
Tempahan demi
tempahan di terima. Dari kek cawan ke kek bertingkat. Dari kek bertingkat ke
kek pelbagai tema karakter kartun. Saban hari ia menjadi keghairahan untuk
menghasilkan lebih banyak kek tema. Pulang dari pejabat, saya akan terus ke
dapur untuk menyiapkan tempahan. Dan akan tidur pada pukul empat pagi atau lima
pagi. Saya akan ke pejabat pada pukul lapan pagi. Kerana keghairahan itu, saya
tidak terasa lesu, letih atau tertekan. Saya gembira akhirnya saya temui cara
untuk menghilangkan tekanan dengan kerja pejabat.
2012
Ujibakat
Masterchef Malaysia.
Saya mencipta
pengalaman indah apabila menyertai ujibakat rancangan realiti “Masterchef
Malaysia” sesi kedua.
Ia bermula
apabila saya banyak memuatnaik gambar makanan yang saya masak. Tinggal
berseorangan di rumah sewa semasa bujang membuatkan saya mengisi masa lapang
dan memasak di dapur. Saya hiasi pinggan dengan hati dan ambil gambar. Ada
antara komen yang saya dapat ketika itu, “Boleh kau masuk ujibakat Masterchef
lepas ni”.
Selang
beberapa bulan, saya telah dicabar oleh sahabat saya. Beliau mencabar jika saya
mendapat lebih dari 10like dengan memuat naik status di facebook,
saya harus menyertai ujibakat rancangan realiti tersebut. Selepas status yang
dimuat naik mendapat lebih dari 80 like. Saya tahu bahawa cabaran
sahabat saya itu perlu saya teruskan juga.
Hari ke sehari
saya mula belajar dan membuat beberapa ujian untuk memilih menu yang sesuai.
Saya mahukan sesuatu yang mudah, sedap dan berkhasiat untuk dinikmati. Setelah
beberapa menu yang dicuba, saya mendapat idea dengan satu jenis masakan yang
pernah saya masak sebelum ini. Masakan yang saya bawakan ialahSpaghetti with
Spinach Sauce served with Beef Stuffed Portobello Mushroom.
Ramai sahabat
dan sahabat alam maya menyokong penuh minat dan semangat saya untuk ke ujibakat
itu. Setiap hari mereka memberikan kata semangat. Sebelum ujibakat juga saya
akan berlatih untuk mencuba resipi itu beberapa kali.
Resepi
Spageti dengan sos bayam
Bahan-bahan:
Spageti
yang telah direbus
2 ikat
bayam dipotong 2 inci
2 ulas
bawang putih
1 helai daun
bay
1 sudu
kecil mixed herb
½ kotak
kecil krim masakan
½ cawan
susu segar/air
½ sudu
kecil gula merah
Garam pink
secukup rasa
Cara-cara:
1. Didihkan air dalam periuk. Masukkan bayam
dan bawang putih.
2. Masukkan mixed herb, daun bay, susu segar,
krim masakan dan gula merah.
3. Masak sehingga mendidih dan bayam layu.
4. Tutup api, kemudian kisar sampai halus.
5. Masukkan semula sos bayam tadi ke dalam
periuk dan biar mendidih. Laraskan kepekatan mengikut
kehendak. Kalau terlalu cair,
masukkan cooking cream lagi. Kalau terlalu pekat, masukkan sedikit air.
6. Masukkan garam pink dan tutup api.
7. Gaulkan spaghetti yang telah direbus dengan
sos bayam. Sedia dihidangkan.
Nota kaki:
Sos bayam akan lebih berlemak jika diblend bersama kacang gajus atau biji benih
bunga matahari.
Resepi
cendawan sumbat daging.
Bahan-bahan:
100g daging
cincang
6-8
cendawan portobello/butang segar
1 biji
bawang besar sais sederhana besar
Garam pink
secukupnya
Sedikit
lada hitam
Sedikit
mentega asli
Sedikit
keju mozzarella
Sedikit
minyak zaitun
Cara-cara:
1. Bersihkan cendawan, keluarkan batang
cendawan dan potong dadu.
2. Cairkan mentega asli.
3. Masukkan bawang besar. Tumis sehingga
sedikit keperangan.
4. Masukkan daging cincang dan batang cendawan
yang dah dipotong dadu.
5. Masukkan lada hitam dan garam pink. Tutup
api dan ketepikan.
6. Hidupkan
oven pembakar pada suku 150 darjah selsius. Susun cendawan yang sudah dibuang batang
tadi ke atas dulang pembakar dengan arah cendawan kebawah.
Tuangkan sedikit minyak zaitun ke dalam cendawan. Sudukan inti
daging tadi. Dan taburkan keju diatasanya.
7.
Bakar pada suhu 150 ke 180 darjah selsius selama 40 minit ke
satu jam.
8.
Sedia untuk dihidang bersama spageti tadi atau dijadikan lauk
sampingan.
Hari
ujibakat
Saya bangun seawal 4.30 pagi bagi menyediakan menu dan segala kelengkapan untuk ke ujibakat rancangan reality “Masterchef Malaysia” sesi kedua. Peserta hanya perlu membawa makanan yang telah siap dimasak dan akan menghias makanan di sana.
Jam 7 pagi
saya sudah tiba di perkarangan Universiti Taylor’s yang dahulu dikenali sebagai
Kolej Taylor’s. Peserta yang beratur untuk mendaftar belum ramai. Dengan
perasan berdebar, saya mula beratur untuk mendaftar. Nombor giliran yang saya
dapat ialah 22.
Saya tunggu
dengan penuh debaran. Pelbagai ragam yang saya nampak. Ada yang membawa bakul
besar. Ada yang membawa pelepah daun pokok kelapa. Ada yang menjinjing dulang
besar. Saya cuma lihat beg kecil yang saya bawa. Tiba-tiba perasaan mahu tarik
diri muncul. Tetapi saya harus sahut cabaran sahabat saya!
Ujibakat
tersebut akan memanggil seramai 30 peserta untuk setiap kumpulan dan nama saya
termasuk dalam kumpulan yang pertama. Terdapat 3 peringkat ujibakat. Yang
pertama peringkat penilaian makanan. Manakala peringkat kedua ialah
personaliti, dan peringkat ketiga pula ialah penilaian IQ.
Makanan yang
telah siap dihias akan dipersembahkan kepada 3 orang juri. Juri-juri tersebut
adalah Chef Jo, Chef Zubir dan Chef Adu. Pada peringkat ini, peserta akan
diberikan masa selama 45 minit untuk menyediakan dan menghias menu yang
dipilih. Terdapat beberapa gelombang ketuhar mikro, pinggan mangkuk, dan
beberapa jenis kutleri. Peserta bebas memilih yang mana mereka mahu guna.
Apabila wisel
ditiup tanda masa 45 minit telah tamat, para juri akan berjalan dari meja ke
meja untuk proses penilaian dari segi persembahan, rasa dan kekemasan pada menu
yang dihidang. 3 juri yang hebat itu tiba di meja saya. Chef Jo telah merasa
makanan yang saya sediakan sambil mengangguk-angguk dan senyum.
Gambar sempat dirakam
melalui tv ketika saya keluar dari pintu dewan ujibakat.
Setelah semua
peserta ujibakat kumpulan pertama selesai dinilai, kami diminta berbaris di
hadapan dan nama dipanggil seorang demi seorang dan dialihkan ke kiri dan
kanan. Chef Jo mengumumkan, bahagian kiri ialah peserta yang layak ke peringkat
seterusnya. Saya berasa seronok sekali kerana berada di bahagian kiri kumpulan!
Saya layak ke peringkat seterusnya.
Peringkat
kedua lebih mencabar apabila peserta harus bercakap secara langsung depan
kamera. Ini adalah titik kelemahan saya. Saya menggeletar sepanjang temuduga di
depan kamera. Saya tak mampu berkata seperti biasa. Nasib tak menyebelahi saya
apabila saya tak terpilih untuk ke peringkat seterusnya.
Namun bagi
saya, menyertai ujibakat rancangan realiti “Masterchef Malaysia” walaupun hanya
lepas di peringkat pertama memberikan saya pengalaman yang sangat indah yang
boleh saya kenang sampai bila-bila.
2013
Pertengahan tahun
2013 agak manis untuk saya apabila saya dapat menyiapkan tempahan kek kahwin
yang pertama. Kek lembap Baldu Merah yang sangat popular ketika itu. Kek setinggi
tiga tingkat itu dihiasi dengan fondant biru, putih dan bunga ros hidup serta
riben di sekeliling kek.
Saiz kek yang
paling bawah ialah 12 inci. Manakala yang tengah ialah 10 inci dan yang atas
sekali ialah 8 inci. Berat kesemua kek mencecah 5.6kg! Kek perlu siap dibakar
dan dibalut fondan sehari sebelum majlis untuk tujuan mengeringkan fondant. Proses
pengeringan fondant memakan masa 24 jam.
Awal pagi,
perjalanan membawa kek yang banyak dari Shah Alam ke Bandar Puteri Mahkota amat
mencabar! Saya perlu bergerak perlahan kerana risau kek-kek akan bergoyang.
Biasanya harga kek kahwin tiga tingkat bermula dari
RM650 ke atas.
Pada tahun 2013 juga, saya mengambil tempahan kek
cawan sebanyak 250 cawan untuk pertama kali sebagai buah tangan kepada tetamu
di majlis pertunangan kawan saya.
Resepi Air Tangan
Kek Lembap Si
Baldu Merah
Bahan-bahan kek:
3/4 cawan minyak
kelapa sawit
1 cawan tepung gandum
jenama faiza (atau tepung tanpa gluten)
3/4 gula perang
1/4 cup koko (pilihan
saya ialah koko Van Houtten)
1/2 cawan susu masam
atau yoghurt
1 biji telur bersaiz
besar
1/2 sudu kecil soda
bikarbonat
1/2 sudu kecil cuka
epal jenama Bragg
1/2 sudu kecil esen vanila
atau 1 tangkai vanilla bean
2 sudu besar pewarna
merah yang dibenarkan atau boleh elak pewarna merah jika tak mahu
Bahan-bahan Susu Masam(cukup untuk 1/2 cawan) :
1 sudu besar cuka epal
jenama Bragg
Susu jenaman Farm
Fresh
Cara-cara buat buttermilk:
1) Tuang 1 sudu besar
cuka epal dlm 1/2 cawan penyukat.
2) Campur susu dalam
1/2 cawan penyukat tadi sampai penuh. Asingkan dlm mangkuk lain. Kacau.
3) Biar 10minit. Ia
akan berketul dan pekat.
Bahan-bahan aising:
1 peket 250g krim keju
jenama tartura
1/2 cawan mentega asli
3/4 cawan gula aising
*3/4 cawan= 1/2 cawan
+ 1/4 cawan
Care-cara buat kek:
1) Ayak tepung, soda
bikarbonat, koko, gula ke dalam bekas pengadun adunan. Putar dengan kelajuan
perlahan sehingga semua bahan kering sebati.
2) Dengan kelajuan
perlahan, masukkan telur dan minyak pada waktu yang sama. Sebelum minyak habis,
masukkan susu masam.
Nota: Perlu ikut
langkah dibawah secara aturan. Jika tidak kek tidak akan menjadi.
-Masukkan minyak dengan
ada tali halus dan tak putus.
-Cara masukkan susu
masam juga sama seperti minyak.
-Jgn habiskan minyak
sebelum masukkan susu masam.
3) Biar adunan di
pukul dalam 3 minit. Tukar kelajuan ke sederhana laju.
4) Masukkan esen
vanila, putar lagi 1 minit dan masukkan pewarna merah jika menggunakannya.
5) Pada kelajuan
sederhana. Pukul 2 minit lg, masukkan cuka epal.
6) Lajukan kelajuan
paling tinggi dlm seminit. Adunan nampak berbuih kecik2 n halus.
7) Gliskan loyang menggunakan
mentega dan tepuk2 serbuk koko sehingga menutupi seluruh salutan mentega tadi.
Berhentikan mesin pengadun. Tuang adunan dalam Loyang 9 inci.
Nota:
-Adunan ini juga boleh
digunakan untuk membuat kek cawan.
-Tujuan tepuk koko dan
bukan tepung seperti kebiasaannya, kerana kek ni, mengandungi koko dan warna
nya agak gelap.
8) Bakar pada suhu
berikut. Suhu :
Kek - 175 ke 180 dajah
celcius 45 minit. Atau sampai cucuk lidi tak melekat.
Cupcake - 160 dajah
celcius 30 - 40 minit. Sampai cucuk lidi tak melekat.
Care2 buat icing :
1) Pastikan krim keju
pada suhu bilik.
2) Pukul cream cheese
dan mentega asli pada kelajuan paling laju. Pukul sehingga kembang.
4) Tukar kelajuan
kepada sederhana. Masukkan gula aising 1 sudu demi 1 sudu.
5) Putarkan pada
kelajuan paling laju selama 2 minit.
6) Kek sedia dihias
apabila sejuk.
Selamat Mencuba!
Selamat Mencuba!
2014
Tahun yang mencipta kenangan manis apabila saya
terlibat menyediakan kek cawan untuk perlancaran kasut edisi Nana Mahazan iaitu
“n by DistroKL”.
Sebanyak 250 biji kek cawan bertemakan belang hitam
putih menjadi santapan tetamu pada majlis perlancaran kasut tersebut. Gambar
kek cawan saya juga telah dimuat naik ke laman social Instagram artis terkenal
itu.
Saya berasa sangat gembira dan lelah yang berbaloi.
No comments:
Post a Comment