“Mahu Berjaya, Lupa sengsara, Mula semula” - Alia Ismail,2018
Ketika mengandung anak sulung, suami saya kehilangan punca pendapatan dan kami mengambil keputusan berhijrah ke Shah Alam untuk memulakan hidup baru. Dari situ lah mulanya perniagaan Nasi Lemak Teloq Kecai. Asal nama Nasi Lemak Teloq Kecai dari idea suami saya. Sambal telur hancur, kegemarannya. Jadi kami cuba mencari nama yang lebih 'in'.
"Ni hat nasi lemak Teloq Kecai Kedah nuuun ka?!", soalan yang sering kami dapat apabila pelanggan singgah membeli.
"Eh dak dak. Ni hat Shah Alam punya."
Bermodalkan RM120. Berkonsepkan drive thru melalui bonet kereta. Kami berada ditepi Sekolah Menengah Seksyen 9, Shah Alam seawal 6.30 pagi, Nasi Lemak Teloq Kecai RM1 mula mendapat nama. Istimewa ada pada sambalnya. Sambal telur kecai. Setiap bungkus, sambal diasingkan di dalam plastik sambal.
Sambal. Makin lama diatas api, makin sedap. Oleh itu, saya akan menumis sambal selama 6 jam untuk memastikan rasa sambal yang enak bagi setiap bungkus RM1 yang dijual. Digaul dengan nasi berlemakkan santan, sekali makan, terbang ke langit.
Apa yang mencuit hati, pelanggan kami hanya perlu buat isyarat jari berapa bungkus mereka mahu dari dalam kereta dan nasi lemak itu akan dibungkus siap bersama sudu. Selepas nasi lemak dihulur dan duit disambut, pelanggan terus memandu pergi. Dari jauh kelihatan isyarat tangan "dua", "empat", "sepuluh!", pelanggan sanggup melepaskan stering kereta hanya kerana menunjuk isyarat "sepuluh". Ada hari kereta beratur panjang dan kami bergilir menghulur nasi lemak.
Tempahan demi tempahan setiap hari. Kami sedia melangkah keluar dari zon selesa dan mulakan bisnes ini dengan serius. Setiap pagi selesai tugas masak nasi, saya dan suami akan membungkus satu persatu nasi lemak dan disusun di dalam bakul. Sebanyak 150 – 200 nasi lemak akan dijual setiap hari. Untung bersih sekitar RM80 - RM100 ketika itu
Resepi Nasi Lemak Teloq Kecai
Nasi Lemak
Bahan-bahan:
2 pot Beras
1 inci halia diketuk
1 biji bawang merah dimayang
½ sudu kecil halba
1 cawan santan pekat
1 sudu besar garam pink Himalayan
2 helai daun pandan diikat simpul
Air secukupnya
Cara-cara:
1. Basuh beras dengan bersih.
2. Masukkan halia, bawang merah, halba, santan dan garam.
3. Sukat air secukupnya.
4. Tanak nasi seperti biasa.
Sambal Teloq Kecai
Bahan-bahan:
5 sudu besar cili giling diblend sendiri
1 sudu kecil asam jawa
Garam pink Himalayan secukupnya
2 biji bawang besar diblend
1 biji bawang merah dimayang
2 sudu besar gula merah
2 biji telur dibasuh
1 ikat daun pandan
Air secukupnya
Cara-cara:
1. Tumis bawang merah yang diblend dan daun pandan sehingga keperangan.
2. Masukkan cili giling. Tumis sehingga pecah minyak.
3. Masukkan sedikit air. Tumis lagi sehingga pecah minyak.
4. Masukkan air asam jawa dan gula merah. Masukkan sedikit air. Tumis lagi sehingga pecah minyak.
5. Masukkan bawang yang dimayang. Masukkan sedikit air hingga mencapai kepekatan yang dikehendaki. Tumis lagi sehingga pecah minyak.
6. Pecah kan telur sebiji demi sebiji. Kacau dengan perlahan supaya kesemua telur tidak terlalu bercampur dengan sambal. Ulang dengan sebiji lagi telur.
7. Tutup api dan sedia dihidang
Bahan lain:
Kacang
Ikan bilis
Hirisan timun
Daun pisang dilayur
Kertas pembalut
Nota kaki: Halba merupakan penggalak susu yang bagus. Hanya sedikit halba di dalam nasi lemak sudah cukup untuk membekalkan nutrient dalam diet kita.
Servis Penghantaran.
9 April 2016,
Pada jam 4 pagi, saya telah selamat bersalin anak sulung, Umar. Kami bercuti sebentar dari dapur dan memberi tumpuan dengan urusan pantang dan pemulihan kesihatan saya.
Selepas habis pantang, kami mula berniaga seperti biasa. Kali ini kami telah menambah baik perkhidmatan kami dan menyediakan servis penghataran sarapan pagi dari rumah ke rumah. Seawal pagi selepas selesai membungkus nasi, Suami saya akan berniaga di tepi jalan kerana ingin mengekalkan konsep drive thru bagi pelanggan yang mahu ke pejabat.
Saya pula akan mengambil tugas penghantaran sarapan ke rumah pelanggan yang telah menempah dari awal pagi. Saya akan membawa Umar mengambil angin pagi sambil berjalan dari rumah ke rumah. Selesai penghantaran sesi pagi, saya akan mula memasak sambal untuk keesokkan hari.
Saya pula akan mengambil tugas penghantaran sarapan ke rumah pelanggan yang telah menempah dari awal pagi. Saya akan membawa Umar mengambil angin pagi sambil berjalan dari rumah ke rumah. Selesai penghantaran sesi pagi, saya akan mula memasak sambal untuk keesokkan hari.
Penghantaran sarapan semakin hari semakin mencabar apabila tempahan dibuat dan penghantaran ke seluruh daerah Selangor dan Kuala Lumpur bersama caj penghantaran. Kami harus menyediakan dan membungkus nasi lemak sejam lebih awal dari hari biasa kerana penghantaran ke pejabat atau rumah seawal pada pukul 6 pagi.
Teringat peristiwa paling mencabar ketika menyiapkan tempahan sebanyak 235 bungkus nasi lemak. Penghantaran jam 5 pagi kami perlu bertolak dari rumah. Jam 12 tengah malam kami mula kerja seperti mengupas bawang, memotong timun, menggoreng kacang dan ikan bilis, membungkus sambal, menanak nasi, dan membungkus nasi. Kami tidak tidur hari itu. Selesai penghantaran, oleh kerana terlalu mengantuk, kami tertidur di tepi jalan selepas Tol Setia Alam selama dua jam. Alhamdulillah anak kami, Umar tak menjadi penghalang.
Projek Extended Meals
“Rezeki dari Allah, Kita kongsi ramai-ramai” – Alia Ismail, 2016
Kami telah melancarkan Projek Extended Meals (Beli untuk orang lain atau istilah Bahasa Pasar ialah “Belanja member”). Projek ini pada mulanya hanya projek biasa pada hari jumaat. Pelanggan akan mohon untuk beli atau tempah untuk mereka agihkan kepada rakan-rakan atau kami agihkan kepada ahli Jemaah solat jumaat di masjid.
Saya mengambil keputusan untuk melebarkan lagi Projek Extended Meals bukan hanya untuk Jemaah di masjid dan surau tetapi untuk semua orang awam. Jangan pernah berkira untuk sesiapa. Apatah lagi berkaitan dengan makanan. Semua orang suka akan sebungkus nasi lemak pemberian orang.
Saya akan memuat naik status di laman sesawang “Facebook” untuk mengumpul dana bagi yang ingin menyumbang dengan cara membeli nasi lemak RM1 dan diagihkan kepada sesiapa secara rawak. Maklumbalas dari rakan-rakan dalam talian amat memberangsangkan. Malah ramai yang menyumbang saban minggu.
Projek ini harus dibahagikan kepada beberapa sesi untuk diagihkan kepada orang awam bagi menghabiskan semua dana. Sebanyak RM250 akan digunakan untuk setiap sesi bersamaan dengan 250 bungkus nasi lemak.
Pernah sampai satu masa, jumlah kesemua nasi lemak yang telah kami sediakan melebihi 1500 bungkus hanya untuk Projek Extended Meals ini sahaja. Permintaan Projek Extended Meals yang memberangsangkan ini membuatkan kami mempunyai kekangan masa untuk berniaga nasi lemak seperti biasa.
Sasaran kami untuk projek ini ialah:
1. Para Jemaah di masjid
2. Para pelajar universiti atau sekolah
3. Anak-anak yatim
4. Warga tunawisma
Para Jemaah di masjid
“Dan Sedekah pada hari itu lebih mulia dibanding hari-hari selainnya.” (Mauquf Shahih)
Saya mengambil keputusan untuk melebihkan pemberian dari penyumbang dana pada hari jumaat. Penghulu segala hari. Jadi saya akan memilih masjid yang berlainan setiap minggu. Seusai solat jumaat, saya dan suami akan buka bonet kereta dan mula mengagih nasi lemak.
Kami melihat pelbagai ragam manusia ketika ini. Ada yang diam tidak berkata, ada yang seronok lebih-lebih lagi kanak-kanak sekolah, ada yang memanggil yang lain yang mungkin terlepas pandang kepada kami.
“Bang mari sini ada nasi lemak, bang!”
Saya juga akan membuat pengagihan di sebelah malam di surau-surau. Nasi lemak akan diletakkan di bahagian tempat makanan selepas waktu Maghrib. Para jemaah akan menjamah atau membawa nasi lemak pulang ke rumah.
Harapnya, kami dapat menyampai amanah yang telah diserahkan kepada kami oleh penyumbang dana. Saya belajar, bukan melalui duit semata tetapi melalui tenaga kudrat empat kerat juga kita mampu bersedekah. Bahagian kita.
Pelajar Universiti
Pengalaman menjadi pelajar universiti tempatan, sebuah pengalaman indah buat saya. Setiap malam pasti perut berkeroncong minta di isi. Saya jadikan ini sebagai langkah kedua untuk meneruskan Projek Extended Meals.
Selesai membungkus nasi lemak jam 8 malam, kami memulakan langkah ke universiti yang berdekatan. Universiti Teknologi Mara kampus induk di Shah Alam. Kami akan berhenti di tepi jalan berdekatan Dataran Cendekia dan bonet kereta dibuka. Kami agihkan nasi lemak kepada pelajar-pelajar yang melalui kawasan itu.
Ada pelajar yang terkejut dan bertanya berkali-kali.
“Betul ke percuma? Betul ke, kak?”
“Betul dik. Ada orang sedekah. Kami hanya sampai kan niat orang”
Lama-kelamaan, kami dikerumuni para pelajar. Menjengah-jengah ke dalam bonet kereta.
“Apa ni, Bang?”
“Ada lagi, kak? Ada lagi, Bang?”
“Saya nak dua lagi, boleh? Untuk kawan bilik”
Rasa sedih apabila nasi lemak sudah habis tetapi masih ramai lagi pelajar yang mengerumuni kereta. Apa yang kami mampu kata,
“Maaf dik, saya balik dulu. InshAllah esok ada lagi ya”
Respon dari mereka membuatkan saya seronok dan teruja. Ini yang saya cari! Kepuasan yang sungguh berbeza. Sesuatu yang tak pernah dicapai. Saat kawan-kawan lain mengumpul beribu ringgit, membeli-belah. Bagi saya, cukup lah saya mengumpul kepuasan.
Anak-anak yatim
Mereka antara insan-insan istimewa bagi saya. Projek Extended Meals melibatkan anak-anak yatim ini begitu terperinci. Apa yang istimewa lagi, saya tidak menyajikan nasi lemak kepada anak-anak yatim yang comel ini. Saya masih menerima dana dari penyumbang untuk memberi makan kepada anak-anak yatim. Dan jumlah yang diterima sangat diluar jangkaan. Saya bahagikan dana itu untuk beberapa sesi makan malam.
Anak-anak yatim ini terdiri dari kanak-kanak berumur 2 tahun, 3 tahun, 4 tahun, 5 tahun, dan 9 tahun. Jumlah anak-anak yatim ini ialah seramai 70 orang. Mereka tinggal berasingan mengikut umur, dan jantina.
Kami akan masakkan hidangan yang istimewa seperti fish and chip, chicken chop, cheezy wedges, Nasi daging dan air asam, nasi jagung dan ayam goreng rempah, dadih, buah-buahan dan air yang sedap-sedap.
Perkara yang paling saya tak boleh lupa apabila kami tiba di perkarangan rumah mereka. Anak-anak ini akan keluar beramai-ramai sambal menjerit “makanan sampai!” untuk menyambut makanan mereka.
Sebelum kami berlalu pergi, saya akan mohon anak-anak yatim ini doakan para penyumbang dana dengan niat penyumbang masing-masing.
Warga Tunawisma
“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kau dustakan?” (ar-Rahman: 13).
28 November 2016;
Tarikh pertama kami menjalankan Projek Extended Meals untuk warga tunawisma. Projek kali ini mendapat sambutan yang luar biasa dari para penyumbang. Mereka minta untuk kami tidak hentikan projek untuk warga tunawisma.
Kami akan menyediakan nasi lemak pada lewat petang dan mula membungkus selepas solat Maghrib. Selepas semua persiapan telah dibuat, kami akan bertolak sekitar jam 10 malam ke tempat warga tunawisma selalu tidur. Mereka berada di sekitar Kuala Lumpur.
Kami akan berjalan kaki sambil mengagihkan nasi lemak. Seorang akan mendapat 2 bungkus nasi lemak beserta air mineral. Ketika itu saya akan menggendong anak kami, Umar ketika itu berusia 7 bulan dan suami saya menarik troli sepanjang pengagihan. Kawasan yang kami berjalan sekitar Dataran Mydin berhampiran Pasaraya Mydin, Pudu, Universiti Segi, Dataran Maybank, Masjid Negara, dan Masjid Jamek.
Keadaan tengah malam begitu sayu melihat keadaan warga tunawisma di Kuala Lumpur. Kesemua warga ini 96% warga tempatan. Ada yang tua, ramai yang sakit, wanita mengandung, anak-anak kecil sebaya anak kami, ada yang muflis, bekas pekerja kerajaan, mangsa tipu, dan banyak lagi. Kami mengambil kesempatan ini untuk bersyukur diatas nikmat yang Allah berikan.
No comments:
Post a Comment